2 bekas menteri kewangan akan dipanggil untuk disiasat – Channel W

2 bekas menteri kewangan akan dipanggil untuk disiasat

Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) akan memanggil dua bekas Menteri Kewangan berhubung prosiding Tuntutan Tunggakan Bayaran Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) berjumlah RM19.4 Bilion.

Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, berkata dua bekas Menteri itu ialah menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah serta Datuk Seri Johari Abdul Ghani yang akan memberi keterangan di hadapan PAC apabila prosiding itu disambung semula pada 25 September ini.

Katanya, PAC memulakan prosiding pertamanya membabitkan isu Tuntutan Tunggakan Bayaran GST pada Rabu dan semalam.

”Pemilihan isu ini (Tuntutan Tunggakan Bayaran GST) dipersetujui sebulat suara semua 13 ahli PAC memandangkan ia membabitkan kepentingan rakyat dan negara selepas perkara berkenaan dibangkitkan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dalam sidang Dewan Rakyat awal Ogos lalu,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan, Jumaat.

Ronald berkata, pada prosiding Rabu lalu, PAC memanggil Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Datuk Seri T Subromaniam hadir bagi memberi penjelasan di hadapan PAC.

Katanya, semalam pula, bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Irwan Serigar Abdullah hadir memberi keterangan.

“Irwan hadir bersama Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Dasar) yang mewakili Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Siti Zauyah Md Desa bagi memberi penjelasan mengenai isu yang sama,” katanya.

Selain itu, katanya PAC Parlimen juga akan memanggil beberapa saksi lain bagi memberikan penjelasan berhubung isu itu bagi memastikan siasatan yang dijalankan benar-benar menyeluruh.

“PAC tidak menetapkan sebarang garis masa bagi merumuskan siasatan itu sebelum membentangkan laporannya ke Dewan Rakyat,” katanya

PAC dianggotai 13 Ahli Parlimen Kerajaan dan pembangkang selain wakil tetap (ex-officio) kementerian dan jabatan seperti Kementerian Kewangan, Jabatan Audit Negara, Jabatan Peguam Negara, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Jabatan Perkhidmatan Awam, Jabatan Akauntan Negara dan Unit Perancang Ekonomi (EPU).

Ronald menegaskan rumusan serta cadangan Laporan PAC berhubung isu berkenaan, sudah pasti mendapat input serta pandangan daripada ex-officio PAC dalam memastikan laporan itu benar-benar komprehensif, telus serta menyeluruh sebelum ia dibentangkan di Dewan Rakyat dan menjadi dokumen awam.

Comments

You must be logged in to post a comment Login

スーパーコピー財布 スーパーコピー時計 スーパーコピーブランド cheap valentino cheap air jordans