BN Juga Buat Bantahan Kajian Semula Persempadanan – Mohamad – Channel W

BN Juga Buat Bantahan Kajian Semula Persempadanan – Mohamad

SEREMBAN – Parti komponen Barisan Nasional (BN) juga membuat bantahan terhadap kajian semula persempadanan kawasan pilihan raya oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan bukan hanya pembangkang yang berbuat demikian, kata Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan.

Beliau berkata di Negeri Sembilan, komponen BN iaitu UMNO, MCA dan Gerakan telah membuat bantahan membabitkan kawasan Jeram Padang, Jelai, Gemas, Gemencheh dan Teluk Kemang.

“Di Negeri Sembilan, bantahan oleh UMNO, MCA, Gerakan serta DAP dan PKR, semua mendapat perhatian SPR dan diberikan pertimbangan. Ada bantahan-bantahan tersebut yang dipersetujui dan diperbetulkan semula,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco kerajaan negeri di sini, hari ini.

Oleh itu, beliau menegaskan dakwaan bahawa kajian semula persempadanan kawasan pilihan raya akan mendatangkan kebaikan kepada pihak kerajaan sahaja adalah tidak berasas.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini membentangkan usul Laporan Kajian Semula Syor Persempadanan Kawasan Pilihan Raya Tanah Melayu 2018 di Dewan Rakyat.

Sebelum ini, beberapa anggota Parlimen telah menggesa supaya menunda perbahasan laporan itu sehingga semua notis bantahan berhubung perkara itu di mahkamah telah diselesaikan.

Sementara itu, Mohamad berkata kerajaan negeri memutuskan fasa pertama dasar perluasan kampung menerusi program ‘Desa Sutera’ bagi pembangunan luar bandar akan dilaksanakan segera.

Katanya terdapat lima kawasan ‘Desa Sutera’ dan tanah kerajaan di kawasan berkenaan akan dipecahkan menjadi lot untuk diberikan kepada mereka yang layak mengikut kategori seperti miskin, mereka yang tinggal di kawasan itu serta mereka yang belum mempunyai tanah dan rumah.

“Mereka ini akan diberikan tanah lot untuk didirikan rumah supaya mereka boleh mengikuti program-program yang akan dilaksanakan oleh kerajaan di kawasan berkenaan. Ini untuk pastikan supaya kawasan luar bandar tidak terus ketinggalan dan sunyi sepi.

“Kawasan ‘Desa Sutera’ ini adalah kawasan penempatan baharu (kampung tersusun). Mesyuarat Exco hari ini telah meluluskan program tersebut dan Unit Perancang Ekonomi Negeri (Upen) akan melaksanakannya,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Mohamad berkata majlis perasmian penggabungan Majlis Perbandaran Seremban (MPS) dan Majlis Perbandaran Nilai (MPN) secara pentadbiran akan diadakan pada 20 April ini manakala pemasyhuran Majlis Bandaraya Seremban (MBS) oleh Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Ibni Al-Marhum Tuanku Munawir dijadualkan pada 1 Jan 2019.

-BERNAMA

 

Comments

You must be logged in to post a comment Login

スーパーコピー財布 スーパーコピー時計 スーパーコピーブランド cheap valentino cheap air jordans