Daesh Dalang Serangan Surabaya – Channel W

Daesh Dalang Serangan Surabaya

SURABAYA – Insiden pengeboman berturut-turut yang menggegarkan bandar kedua terbesar Indonesia di sini dalam tempoh 24 jam dilakukan tiga keluarga termasuk anak mereka, kata pihak berkuasa.

Dalam serangan terbaharu pagi semalam, satu keluarga membawa anak perempuan berusia lapan tahun melancarkan serangan bunuh diri di ibu pejabat polis di sini, menurut pasukan keselamatan itu.

Budak perempuan itu, yang bersama dua lagi penyerang bermotosikal, tercampak namun terselamat, kata jurucakap polis Frans Barung Mangera. Empat penjenayah maut dalam serangan itu, yang mencederakan empat pegawai polis dan enam orang awam.

Satu video di tempat kejadian menunjukkan budak perempuan itu terpinga-pinga di celah runtuhan sebelum orang ramai membawanya ke tempat selamat.

Pengeboman itu berlaku sehari selepas enam sekeluarga termasuk dua kanak-kanak berusia sembilan dan 12 tahun serta remaja 16 dan 18 tahun, meletupkan bom di tiga gereja, mengorbankan 12 orang dan mencederakan sekurang-kurangnya 40 orang.

Kesemua anggota keluarga itu maut dalam serangan dengan Daesh bertanggungjawab menerusi agensi berita Amaq dalam apa yang digelar operasi syahid.

Pada Ahad, dalam apa digelar polis insiden keganasan, seorang ibu dan anak perempuannya berusia 17 tahun terbunuh di pinggir Sidoarjo di sini apabila sebutir bom dibawa bapanya meletup tanpa dijangka.

Polis menemui bapa terbabit dalam sebuah rumah memegang peranti letupan dan menembaknya, kata jurucakap polis, Frans.

Beliau menambah, anak lelaki keluarga itu berusia 12 tahun membawa dua adik perempuannya ke Hospital Polis Bhayangkara.

Ketua polis Indonesia, Tito Karnavian, memberitahu media semalam, polis sedang merumuskan serangan itu berikutan arahan Pusat Arahan Pusat Daesh untuk membalas dendam terhadap hukuman penjara bekas pemimpin Jamaah Ansharut Daulah (JAD), yang menyokong militan terbabit.

Tito berkata, tiada siapa dalam keluarga terbabit berkunjung ke Syria.

Beliau berkata, bom yang meletup semalam dan kelmarin adalah sama dari segi pembinaan, amat berkuasa dan sensitif terhadap pergerakan, digunakan militan Daesh dalam perang di Iraq dan Syria.

Sementara Presiden Joko Widodo menggelar penyerang sebagai ‘kejam’ berikutan tahap kerosakan dan hakikat kanak-kanak digunakan dalam serangan itu.

Secara keseluruhan, 12 orang awam, 13 suspek pengganas maut manakala sekurang-kurangnya 46 cedera termasuk pegawai polis dalam keganasan dua hari.

“Serangan ini adalah senario mimpi ngeri yang dijangka oleh kerana rakyat Indonesia yang ada hubungan dengan Daesh kembali dari Asia Barat,” kata Pengerusi Politik Islam Global di Universiti Deakin Australia, Gred Barton.

Menurut Pengarah Maklumat dan Komunikasi Agensi Perisikan Indonesia, Wawan Purwanto, kira-kira 930 rakyat Indonesia berkunjung ke Syria dan Iraq untuk berjuang bersama Daesh sejak 2013.

Daripada jumlah itu, sekitar 400 kembali ke Indonesia sementara 100 lagi difahamkan maut di medan pertempuran. -NYT/Agensi

Comments

You must be logged in to post a comment Login

スーパーコピー財布 スーパーコピー時計 スーパーコピーブランド cheap valentino cheap air jordans