Febian’s Kembali Warnai Industri Muzik Tanah Air – Channel W

Febian’s Kembali Warnai Industri Muzik Tanah Air

KUALA LUMPUR – Kumpulan legenda 80-an, Febian’s kembali memeriahkan dunia hiburan tanah air menerusi lagu terbaharu berjudul ‘Untuk Apa Lagi’ yang juga kesinambungan kepada lagu hit mereka era di 90-an iaitu ‘Untukmu Sayang’.

Penyanyi utamanya Raymie Tahir berkata biarpun sudah beberapa kali bertukar anggota sejak ditubuhkan pada 1979, namun kemunculan semula kumpulan itu dengan lagu baharu tetap mengekalkan identiti ‘rock kapak’ yang cukup sinonim dengan mereka.

Lebih mesra disapa sebagai Raymie, beliau berkata Untuk Apa Lagi merupakan satu naskhah yang istimewa kerana lirik dan susunan muziknya adalah nukilan anggota itu sendiri.

“Liriknya adalah hasil tulisan Rahmat dan Nano iaitu pemain gitar kami manakala susunan muzik pula dilakukan saya sendiri bersama Sham (pemain drum) serta Hisham (pemain keyboard) dengan bantuan komposer Azi Azuwa Sarinin atau lebih dikenali sebagai Wawa Jinggo.

“Ia merupakan sambungan kepada lagu Untuk Mu Sayang yang menceritakan keinginan seorang jejaka untuk memenangi hati seorang wanita dengan berkisar mengenai kisah percintaan tidak kesampaian,” katanya kepada Bernama ketika menjadi tetamu program Nine11 terbitan Bernama News Channel di sini hari ini.

Raymie berkata Febian’s yang terkenal dengan jolokan ‘raja pentas’ kerana sering mempamerkan persembahan bertenaga turut mengambil kira cita rasa peminat muzik masa kini sebelum melakukan kemunculan semula di arena muzik tanah air.

“Oleh itu, lagu ini (Untuk Apa Lagi) kami serapkan susunan muzik yang sedikit moden bagi mengikut peredaran zaman,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Raymie berkata mereka mempunyai perancangan untuk menghasilkan album baharu pada masa depan selain melakukan persembahan di luar negara.

Tambahnya, jika diberi peluang, mereka berhasrat berkelana ke Eropah dengan menyifatkan masyarakat di sana lebih menghargai muzik.

 

– BERNAMA

Comments

You must be logged in to post a comment Login

スーパーコピー財布 スーパーコピー時計 スーパーコピーブランド cheap valentino cheap air jordans