FGV katanya,  mengamalkan tadbir urus yang berintegriti dan sebarang keputusan atau perancangan perlu melalui proses yang betul dan telus dengan setiap perancangan akan dinilai terlebih dahulu oleh pihak pengurusan sebelum dibawa ke peringkat Lembaga Pengarah.

Isnin lalu, International Palm Oil Monitor (Ipom) mendakwa dua syarikat, satu daripadanya mempunyai kaitan dengan Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary manakala satu lagi syarikat pula adalah usaha sama antara Tan Sri Peter Sondakh (Rajawali Group) dan wakil PT Gama Plantation, yang dimiliki taikun Cina Indonesia, Martua Sitorus, satu daripada pengasas Wilmar International Ltd. dilaporkan berhasrat me­nyuntik aset kepada saham FGV.

Sondakh memiliki 37.6 peratus pegangan dalam PT Eagle High Plantations manakala saudara Sitorus, Ganda mempunyai aset perladangan yang besar seperti PT Agro Mandiri Semesta yang dikenali sebagai Gama Plantation dan PT Ganda Sawit Utama.

FGV bagaimanapun menafikan dakwaan Ipom bahawa syarikat akan mengumumkan penstrukturan dalam skala yang besar atau berlaku pengambilalihan yang dijangka dilaksanakan sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), 9 Mei ini.

Susulan itu, Penganalisis MIDF Research, Alan Lim berkata, laporan tersebut tidak memberi kesan ketara kepada harga saham syarikat perladangan itu kerana ia dipacu oleh pendapatan terasnya dengan mengekalkan jangkaan untuk tahun kewangan 2018 pada RM106 juta manakala 2019 pula dianggarkan RM117 juta.

“Kami percaya laporan berita ini tidak akan memberi impak kepada pendapatan FGV. Malah, kami juga melihat tidak berlakunya risiko kepada harga saham syarikat setelah FGV mencatatkan keuntu­ngan bersih dalam dua suku sebelum ini. Ia secara tidak langsung mencerminkan trend pendapatan yang lebih mapan,” katanya.

Mengulas mengenai dakwaan Pakar Ekonomi dan bekas Penolong Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi pembangunan ekonomi dan sosial Prof. Dr. Jomo Kwame Sun­daram dalam portal Malaysiakini hari ini, Zakaria berkata, ketika penyenaraian FGV, Felda menerima kira-kira RM6 bilion tunai dan da­ripada jumlah tersebut, sebanyak RM1.69 bilion diagihkan kepada 112,635 keluarga peneroka.

Selain itu, katanya, Felda mene­rima hampir RM250 juta setahun untuk bayaran pajakan tanah selama 99 tahun dan juga 15 peratus keuntungan operasi ladang setiap tahun.

“Melalui bayaran kepada Felda inilah, kebajikan peneroka akan terus terjamin untuk jangka masa panjang. Malah, setiap tahun juga FGV mengeluarkan dividen kepada semua pemegang sahamnya termasuklah Felda yang meme­gang hampir 34 peratus saham dalam FGV. Peneroka yang memegang saham FGV turut mene­rima dividen yang sama,” katanya