GC2018: Dua Emas Pada Hari Ke-9 – Channel W

GC2018: Dua Emas Pada Hari Ke-9

Skuad gimrama negara menamatkan kempen di Sukan Komanwel Gold Coast 2018 dengan penuh bergaya dan dalam kelas yang tersendiri pada hari kesembilan temasya kedua terbesar dunia itu.

Satu pingat emas, tiga perak dan tiga gangsa. Ini pencapaian terbaik skuad gimrama selepas meraih dua gangsa dan satu perak di Glasgow manakala di New Delhi, satu perak dan dua gangsa.

Bertempat di Coomera Indoor Sports Centre, penantian lapan tahun kilauan emas dari sukan ini berakhir apabila Amy Kwan Dict Weng berjaya merealisasikannya dalam acara riben individu.

Kali terakhir skuad gimrama menyumbang emas kepada kontinjen negara ke Sukan Komanwel ialah pada 2010 di New Delhi, India menerusi Elaine Koon dalam acara gelung.

Amy, 23, mengumpul 13.200 mata untuk membolehkan lagu ‘Negaraku’ berkumandang di Gold Coast, sekaligus menjadi pingat emas kelima negara.

Keceriaan berganda apabila seorang lagi gimnas negara Koi Sie Yan menyumbang gangsa bagi acara berkenaan manakala pingat perak milik atlet Cyprus, Diamanto Evripidou.

Terdahulu, Amy meraih gangsa dalam acara gelung dengan mengumpul 13.550 mata manakala Sie Yan pula meraih dua perak dalam acara bola dan belantan.

Gimnas itu menghimpun 13.400 mata untuk menamatkan saingan di tangga kedua dalam acara bola, manakala acara belantan, Sie Yan mengumpul 13.850 mata untuk perak.

Dalam acara berpasukan pada hari sebelumnya, Amy, Sie Yan dan Izzah Amzan memperaga persembahan mengagumkan untuk memenangi pingat perak dengan mengumpul 127.950 mata.

Sementara itu, pingat emas keempat negara muncul menerusi acara boling padang berpasangan wanita, Siti Zalina Ahmad dan Emma Firyana Saroji selepas mencatat kemenangan 16-14 ke atas pasangan Afrika Selatan.

Ia kali pertama skuad boling padang meraih emas di pentas Komanwel sejak Siti Zalina melakukannya pada edisi 2002 dan 2006 dalam acara singles wanita, juga triples wanita pada tahun sama.

Ho Ying-Karen hadiahkan pingat gangsa menerusi sukan ping pong.

Sukan ping pong pula tidak pulang dengan tangan kosong apabila gandingan Ho Ying-Karen menewaskan beregu India, Sutirtha Mukherjee-Pooja Sahasrabudhe pada penentuan pingat gangsa di Oxenford Studios.

Kedua-dua mereka menampilkan aksi lebih bertenaga untuk menyekat kermaraan gandingan India itu sebelum menang 15-12, 11-7, 8-11 & 11-7.

Ia pencapaian terbaik daripada pasukan ping pong negara yang hanya menyasarkan layak ke suku akhir dalam semua pertandingan.

Dua pingat dicapai pada hari kesembilan melalui boling padang dan gimrama yang mencerahkan kembali harapan mencapai sasaran Malaysia untuk berada dalam kalangan 10 negara terbaik dalam Sukan Komanwel Gold Coast.

Buat masa ini, secara keseluruhan lima emas meletakkan Malaysia di tangga ke-12 senarai kedudukan pingat.

Kini, hanya dua emas lagi perlu diburu kontinjen negara untuk mengatasi pungutan enam pingat emas dalam temasya Glasgow 2014.

Sumber Foto – Twitter @KBSMalaysia

Comments

You must be logged in to post a comment Login

スーパーコピー財布 スーパーコピー時計 スーパーコピーブランド cheap valentino cheap air jordans