Guna Kaedah ‘e-wallet’ Bayar Gaji Pembantu Rumah Asing – Channel W

Guna Kaedah ‘e-wallet’ Bayar Gaji Pembantu Rumah Asing

KUALA LUMPUR – Bayaran gaji kepada pembantu rumah asing pada masa depan tidak lagi menggunakan kaedah konvensional atau tunai, tetapi menggunakan kaedah ‘e-wallet’, secara terus ke akaun pembantu rumah asing, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan Perdana Menteri berkata perkara berkenaan telah dibincangkan secara mendalam oleh Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Dalam Negeri dengan pihak kedutaan dan suruhanjaya tinggi.

“Kami telah adakan perbincangan yang agak terperinci dengan kedutaan agar semua majikan berdaftar guna kaedah pembayaran sama.

“Saya fikir kaedah konvensional seperti dulu, kita sebagai negara yang akan jadi negara maju, kita perlu elak walaupun seorang…kita tak harus izinkan sebarang pembuatan tidak baik kepada pekerja,” katanya ketika menjawab soalan lisan pada persidangan Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri menjawab soalan M. Kulasegaran (DAP-Ipoh Barat) yang mahu tahu sama ada kerajaan akan memperkenalkan mekanisme tertentu bagi memastikan bayaran elaun dan gaji pembantu rumah asing dibuat pada setiap bulan.

Ahmad Zahid menjelaskan melalui sistem itu, pihak majikan wajib mengkreditkan jumlah gaji kepada akaun pekerja.

“Slip kredit kepada akaun akan diberikan kepada pekerja supaya dapat mengetahui pembayaran dibuat atau tidak,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata seramai 543,460 pengguna telah melayari laman portal Sistem Maid Online untuk permohonan pembantu rumah asing (PRA) secara dalam talian, yang mula diperkenalkan pada awal tahun ini.

“Majikan yang berjaya ‘login’ adalah seramai 10,604 orang, pembantu rumah asing yang didaftarkan adalah seramai 1,903 orang dan permohonan PRA yang layak ke Fomema (Agensi Pemantauan Pemeriksaan Perubatan Pekerja Asing) adalah 1,480,” tambahnya.

Beliau berkata melalui sistem berkenaan, majikan hanya perlu membayar antara RM1,635 hingga RM2,535 bagi kos bayaran wajib yang merangkumi levi, pertukaran pas, wang cagaran, kos pemprosesan dan bayaran kompaun bagi pemegang pas lawatan sosial.

Beliau menjawab soalan asal Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (BN-Tanah Merah) yang ingin tahu sejauh mana kaedah pengambilan PRA secara langsung tanpa melalui ejen atau secara dalam talian mampu menampung permintaan PRA dalam negara dan bagaimana sambutan orang ramai terhadap keputusan kerajaan itu.

Menjawab soalan tambahan Shamsul Iskandar @ Yusre Mohd Akin (PKR-Bukit Katil) yang ingin tahu adakah pengambilan PRA secara terus tanpa ejen dapat melindungi hak dan kebajikan warga asing itu, Ahmad Zahid berkata kerajaan telah berbincang dengan Duta Besar Indonesia ke Malaysia Rusdi Kirana untuk mewujudkan satu sistem bagi memantau kebajikan PRA secara berkala.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata beliau secara peribadi serta kerajaan Malaysia mengutuk perbuatan dera yang menyebabkan kematian pembantu rumah Indonesia, Adelina Lisao, 28, di Pulau Pinang pada 10 Feb lepas.

Beliau berkata sebarang perlakuan yang tidak baik oleh mana-mana majikan rakyat Malaysia di negara ini akan memberikan imej yang tidak baik kepada negara secara keseluruhannya.

“Saya amat prihatin dalam perkara ini, jangan ingat perbuatan peribadi kita tidak menjejaskan nama negara…apatah lagi semua ahli-ahli di dewan yang mulia ini, sama ada belah sini atau belah sana tentu tidak bersetuju dengan perbuatan sedemikian,” tegasnya.

Seorang suri rumah, M. Ambika, 59, dihadapkan ke Mahkamah Majistret di Bukit Mertajam pada 21 Feb lepas atas tuduhan menyebabkan kematian Adelina pada 10 Feb lalu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang boleh dihukum gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

– BERNAMA

Comments

You must be logged in to post a comment Login

スーパーコピー財布 スーパーコピー時計 スーパーコピーブランド cheap valentino cheap air jordans