I-Suri bela nasib wanita – Channel W

I-Suri bela nasib wanita

Pelaksanaan fasa pertama skim Caruman Sukarela Insentif Suri (i-Suri) yang bermula Rabu lalu menjadi bukti kerajaan serius membela nasib wanita yang memerlukan sekali gus komited memenuhi manifesto Pakatan Harapan (PH).

Perkara itu diakui Pengerusi Persatuan Ibu Tunggal Selangor, Murtini Kasman yang menyifatkan skim bantuan berkenaan memberi imej positif kepada kerajaan khususnya dalam membantu rakyat memerlukan.

Murtini yang sering mengendalikan pelbagai kesusahan dihadapi ibu tunggal di Selangor selama lebih 10 tahun, percaya skim itu hanya permulaan bagi proses menaik taraf hidup rakyat di negara ini dan akan disusuli dengan pelbagai lagi penambahbaikan.

“Sejak dulu lagi, golongan ibu tunggal berdepan dengan dilema sama ada untuk bekerja sepenuh masa di pejabat atau bekerja sendiri sambil menjaga anak, namun pilihan yang ada tidak dapat menjamin kehidupan mereka menjadi lebih baik.

“Apabila kerajaan mengumumkan pelaksanaan skim i-Suri, sudah semestinya ia mampu mengukir senyuman lega pada wajah golongan ibu tunggal khususnya mereka yang bekerja siang dan malam untuk menyara keluarga.

“Biarpun fasa satu baru bermula, saya percaya ia akan dijalankan dengan baik dan harapan rakyat untuk hidup meningkat taraf hidup bukan lagi sesuatu yang mustahil,” katanya dipetik media.

Menurut Murtini, bilangan terkini ibu tunggal yang mendaftar di bawah persatuan itu melebihi 22,000 orang dan dikhuatiri jumlah itu akan meningkat pada masa akan datang.

“Saya menyaksikan bilangan ibu tunggal meningkat dengan mendadak kebelakangan ini dan perkara ini perlu diberi perhatian khusus daripada pihak berkenaan.

“Biarpun kerajaan komited membantu rakyat dari segenap sudut, namun masalah sebenar harus diberi perhatian supaya wanita boleh terus berdiri tanpa melalui kisah hidup yang pahit,” katanya.

Fasa pertama skim i-Suri bakal menyaksikan seramai 221,890 suri rumah, 98,536 balu, dan 28,116 ibu tunggal dari golongan miskin tegar layak menerima insentif kerajaan itu selepas mendaftar sebagai ahli i-Suri.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, berbekalkan peruntukan sebanyak 20 juta bagi fasa pertama, i-Suri mensasarkan suri rumah kepada Ketua Isi Rumah (KIR), ibu tunggal, balu dan wanita bujang yang berdaftar dengan sistem Pangkalan Data Kemiskinan Nasional (eKasih).

Comments

You must be logged in to post a comment Login

スーパーコピー財布 スーパーコピー時計 スーパーコピーブランド cheap valentino cheap air jordans