Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor berkata, pihaknya percaya ramai pihak lagi telah menjadi mangsa pemilik syarikat itu, seorang wanita berusia 32 tahun.

“Suspek telah ditangkap pada 25 Julai lepas kerana kes menipu seorang pengarah syarikat daripada agensi pelancongan tempatan membabitkan kerugian kira-kira RM3.99 juta pada tahun lepas.

“Setakat ini kita hanya menerima 40 laporan polis bukan sahaja di Selangor tetapi juga seluruh negara membabitkan penipuan pakej umrah oleh syarikat berkenaaan yang beribu pejabat di Setia Alam di sini,” katanya dalam sidang media pada Selasa.

Hasil siasatan awal menunjukkan suspek aktif menjalankan kegiatan jenayahnya menerusi syarikat itu tanpa lesen sah, sejak dua tahun lepas.

“Kita mahu lebih ramai tampil bagi membantu siasatan polis terhadap kes ini yang kini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya

Polis mengambil serius pihak yang menggunakan agama untuk kepentingan peribadi dan mahu membanteras penipuan umrah berleluasa.