Menteri di Jabatan Perdana Menteri – Hal Ehwal Agama , Datuk Dr. Mujahid Yusof Rawa berkata, perkara itu memang sudah termaktub dalam Seksyen 377A Kanun Keseksaan serta Enakmen Jenayah Syariah Seksen 25,26 dan 28 Akta Kesalahan Jenayah Wilayah-wilayah Persekutuan.

“Jangan kata saya kata menyokong LGBT ya, pada masa sama, atas asas Perlembagaan Persekutuan, hak asasi manusia dan warganegara sentiasa dipelihara berdasarkan asas dan acuan Malaysia yang meletakkan Islam agama Persekutuan, dalam kata lain, golongan ini tidak boleh ditindas di tempat kerja, dianiaya dan dizalimi.

“Kita ada statistik 80 peratus golongan mak nyah terlibat dalam industri seks. Kalau kita mendiskriminasi golongan ini di tempat kerja, mereka akan terus berada dalam industri tersebut, sedangkan hasrat kerajaan untuk mengeluarkan mereka daripada industri tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Ahmad Nazlan Idris Ahli Parlimen Jerantut yang ingin mengetahui sama ada kerajaan Pakatan Harapan PH akan mengambil tindakan tegas terhadap golongan LGBT dalam sesi soal jawab sidang Dewan Rakyat, pada Isnin.