Peguam J. Leela yang mewakili Anwar memaklumkan, saman Noraziah Mohd. Shariff, 38, dibatalkan oleh Hakim Datuk Azizah Nawawi selepas pemohon tersebut tidak hadir untuk memaklumkan usahanya bagi melantik peguam baharu.

Pada 8 November lalu, Hakim Azizah memerintahkan supaya Noraziah melantik peguam yang baharu selepas peguam terdahulu, Datuk M. Reza Hassan menarik diri daripada mewakilinya.

Noraziah selaku pihak pemohon sebelum ini memohon perisytiharan bahawa Ahli Parlimen Port Dickson itu tidak berhak bertanding sehingga tempoh hilang kelayakannya tamat ekoran status pengampunannya yang dipertikaikan.

Pada 28 September lalu, Noraziah memfailkan permohonan untuk mendapatkan perisytiharan bahawa Lembaga Pengampunan yang ditubuhkan untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V dalam perkara pengampunan Anwar adalah tidak menepati perlembagaan.