Masih Ingat Hari Pertama Anda Di Sekolah? – Channel W

Masih Ingat Hari Pertama Anda Di Sekolah?

Setiap kali sesi persekolahan baharu tiba, ragam anak-anak kecil yang memasuki Tahun 1, pastinya menjadi tumpuan.

Media sosial pastinya dipenuhi dengan gambar-gambar keletah murid Tahun 1 yang rata-ratanya masih belum mengenali suasana persekolahan yang sebenar.

Di sebalik kegusaran ibu bapa yang sibuk menguruskan anak-anak untuk memasuki alam persekolahan, siapa tahu perasaan dan apa yang sedang difikirkan anak-anak ini untuk memulakan hari pertama mereka di sekolah?

Pelbagai cara dilakukan oleh pihak sekolah untuk menambat hati murid Tahun Satu ini malah sejak beberapa tahun kebelakangan ini, watak animasi atau adiwira menjadi pilihan pihak sekolah untuk  menceriakan mereka sekaligus mengurangkan kegusaran hari pertama persekolahan.

Di Putrajaya,

Kehadiran tiga watak animasi kegemaran kanak-kanak iaitu Pikachu, Upin dan Ipin, menceriakan hari pertama sesi persekolahan 2018 di Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 11 (1).

Watak yang terkenal dalam siri kartun Pokemon dan Upin Ipin itu, sedikit sebanyak menghilangkan rasa gelisah hari pertama persekolahan, terutama bagi murid Tahun Satu.

Sementara itu di Pulau Pinang,

Watak ‘Stormtrooper’ daripada filem Star Wars menyambut kedatangan 317 murid pada hari pertama persekolahan di Sekolah Kebangsaan Ayer Itam.

Maskot terkenal dari filem Star Wars yang dibawakan khas oleh pihak sekolah sebagai gimik ternyata menggembirakan murid dan ibu bapa yang hadir.

Di Kelantan pula,

Kira-kira 1,400 murid yang memulakan sesi persekolahan 2018 di Sekolah Kebangsaan Kubang Kerian 3, teruja apabila Kungfu Panda muncul di sekolah itu, semalam.

Beruang panda yang terkenal dalam filem kartun Kungfu Panda menggembirakan murid terutama mereka di Tahun Satu yang hadir bagi sesi pendaftaran hari ini sehingga menghilangkan rasa gelisah di hari pertama persekolahan.

Guru Besar SK Kubang Kerian 3, Ahmad Shahir Muhammad berkata dasar Kementerian Pendidikan untuk melahirkan insan yang seimbang dari sudut emosi, rohani, jasmani dan intelek.

“Kita mengharapkan suasana sebegini akan memberi kesan yang positif kepada murid-murid untuk melakar kecemerlangan di sekolah ini di masa akan datang,”katanya.

Pada tahun lalu, watak adiwira Batman dan Kamen Rider muncul yang mana kostum itu dikenakan oleh dua guru sekolah terbabit.

Walau apa pun cara yang dilakukan pihak sekolah untuk menceriakan murid Tahun Satu, ragam anak-anak ini pastinya mengingatkan kita tentang hari pertama tatkala kita memasuki Tahun Satu.

Seribu satu perasaan.

Menangis itu perkara biasa, ada murid yang tidak mahu masuk ke kelas, malah ada yang lari keluar kelas dan banyak lagi.

Apa pun, itu adalah satu cabaran untuk semua warga pendidik.

SELAMAT MEMULAKAN TUGAS UNTUK GURU-GURU!

 

P/S: Masih ingat hari pertama anda di sekolah?

Comments

You must be logged in to post a comment Login

スーパーコピー財布 スーパーコピー時計 スーパーコピーブランド cheap valentino cheap air jordans