Muhyiddin turut memaklumkan orang ramai tidak mengambil tindakan atau membuat kenyataan yang boleh mengeruhkan hubungan kaum dan agama serta menjejaskan ketenteraman awam di negara ini.

Katanya, undang-undang berkaitan hasutan masih berkuatkuasa dan tindakan tegas boleh diambil ke atas mana-mana individu yang sengaja mencetuskan sentimen kaum.

“Berhubung rancangan beberapa pihak untuk menganjurkan Himpunan Membantah ICERD pada 8 Disember ini, saya berpandangan, setelah Kabinet memutuskan tidak akan meratifikasi ICERD, sebaiknya sebarang bentuk perhimpunan membantah ICERD tidak perlu diadakan. Sebarang tindakan untuk meneruskan perhimpunan ini adalah tidak munasabah.

“Namun, sekiranya pihak penganjur meneruskan juga hasrat untuk mengadakan perhimpunan tersebut, saya ingin menegaskan bahawa penganjurannya adalah tertakluk kepada Akta Perhimpunan Aman 2012. Pihak penganjur hendaklah mematuhi peruntukan akta ini dan segala syarat yang ditetapkan oleh pihak polis,” katanya dalam kenyataan yang dimuat naik dalam Facebook miliknya hari ini.

Kabinet semalam memutuskan untuk tidak menandatangani dan meratifikasi (ICERD) yang dilihat bercanggah dengan beberapa peruntukan di dalam Perlembagaan Persekutuan.