Nelayan Sifatkan PM Najib Sebagai ‘Pembela’ – Channel W

Nelayan Sifatkan PM Najib Sebagai ‘Pembela’

SUNGAI PETANI – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak disifatkan sebagai pembela nasib nelayan di negara ini kerana pelbagai inisiatif termasuk kemudahan perumahan dilaksanakan kerajaan di bawah kepimpinan beliau untuk memastikan kebajikan golongan itu terus terpelihara.

Demikian dinyatakan kalangan nelayan di Tanjung Dawai dekat sini yang menerima rumah baharu menerusi Projek Perumahan Nelayan Muafakat Kedah yang dirasmikan perdana menteri hari ini.

Seorang daripada penerima Yusri Zainol, 43, berkata menerusi inisiatif itu di bawah kepimpinan Najib telah memberikan peluang kepadanya sekeluarga mendiami rumah baharu lebih selesa berbanding rumah sewa sebelum ini yang sempit serta kemudahan tandas terletak di luar rumah.

“Saya berasa banggalah, sebab dulu saya duduk rumah sewa sempit, sekarang ini anak-anak pun duduk selesa. Dulu tidak ada bilik, sekarang ada bilik, semua selesa,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian itu.

Sebanyak RM48 juta diperuntukkan kerajaan untuk projek perumahan di Tanjung Dawai itu membabitkan 300 unit rumah bernilai RM59,000 sebuah dan nelayan hanya perlu membayar RM150 sebulan selama tempoh 30 tahun.

Sehubungan itu, Yusri yang telah 20 tahun menjadi nelayan, mengucapkan terima kasih kepada perdana menteri dengan menyediakan perumahan lebih selesa kepada nelayan menerusi pelaksanaan projek perumahan nelayan itu.

Katanya perdana menteri telah membuktikan dirinya sebagai pemimpin yang sentiasa memikirkan kebajikan golongan nelayan di negara ini.

“PM dah tunjuk apa kita minta dia bagi, kita berasa bangga dapat PM macam ini,” katanya.

Berkongsi pendapat sama, Marzuki Shuib, 53, berkata perdana menteri menunjukkan keprihatinannya kepada golongan nelayan di negara ini menerusi pelaksanaan projek perumahan nelayan itu selain pemberian elaun sara hidup nelayan secara bulanan antara RM200 hingga RM300.

“Saya berasa sangat bersyukur dan gembira, hati lapang dapat duduk rumah lebih selesa. Terima kasih kepada kerajaan Barisan Nasional, sejak Datuk Seri Najib memerintah ini, ada perubahan untuk rakyat dan nelayan di Tanjung Dawai ini,” katanya yang menjadi nelayan sejak berumur 13 tahun.

Marzuki berkata dia akan terus memberi peluang kepada BN untuk terus mentadbir negara pada pilihan raya umum akan datang dan mengharapkan rakyat khususnya nelayan lain akan turut berbuat demikian bagi memastikan kebajikan nelayan dan rakyat terus terbela dengan baik.

Seorang lagi penerima rumah itu Abd Manaf Othman, 57, turut mengucapkan terima kasih kepada perdana menteri dan kerajaan yang telah mengambil inisiatif menyediakan perumahan itu bagi membolehkan dia sekeluarga dapat merasai tinggal dalam rumah yang lebih selesa.

Katanya Najib merupakan seorang perdana menteri yang sememangnya sentiasa membela kebajikan dan nasib golongan nelayan menerusi pelaksanaan pelbagai inisiatif.

“Alhamdulillah. Rasa lapang dada dapat rumah baharu, harap selepas ini ada lagi bantuan lain untuk lebih ringankan beban golongan nelayan yang tidak mempunyai pendapatan tetap ini,” katanya yang telah kira-kira 30 tahun menjadi nelayan.

– BERNAMA

 

Comments

You must be logged in to post a comment Login

スーパーコピー財布 スーパーコピー時計 スーパーコピーブランド cheap valentino cheap air jordans