Penamaan calon PRK Sg Kandis kecoh – Channel W

Penamaan calon PRK Sg Kandis kecoh

Suasana tenang di pusat penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis di Dewan Besar Tanjung, Majlis Bandaraya Shah Alam di Seksyen 19 menjadi kecoh sebentar tadi.

Kekecohan bermula apabila penyokong Barisan Nasional (BN) melanggar peraturan dengan menceroboh kawasan larangan 50 meter yang ditetapkan dan enggan mematuhi arahan walaupun sudah diberi amaran oleh pihak polis dan anggota keselamatan supaya berundur.

Kira-kira 20 anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) dikerah mengawal keadaan apabila arahan pihak polis tidak diendahkan dan penghadang dipasang bagi mengelakkan penyokong BN terus berarak.

Laungan ‘undur, undur’ dan ‘tipu rakyat’ terus berkumandang manakala penyokong PKR yang berkumpul tidak jauh daripada penyokong BN di sepanjang Jalan Nelayan B terus mengejek dan melaungkan tanda sokongan apabila pihak FRU bertindak mengawal penyokong BN.

Penyokong BN yang kurang senang dengan kehadiran FRU bagi mengawal mereka tetapi tidak mengawal penyokong PH, cuba berunding dengan pihak polis mengenai penghadang yang dipasang.

Sekitar jam 9.26 pagi tadi, pihak FRU meninggalkan lokasi terbabit diiringi laungan sokongan dan tepukan daripada penyokong BN.

Penyokong BN dan PH terus berbalas ejekan dan melaungkan slogan dari sebalik penghadang sambil menuding jari ke arah satu sama lain.

Bagaimanapun, suasana agak terkawal dengan gelagat penyokong kedua-dua parti dilihat lebih kepada gurauan yang mengundang ketawa dan senyuman kedua-dua pihak.

Comments

You must be logged in to post a comment Login

スーパーコピー財布 スーパーコピー時計 スーパーコピーブランド cheap valentino cheap air jordans