Pendengaran Rayuan Ditangguh, Kerajaan Selangor Mohon Ketepi 2 Hakim – Channel W

Pendengaran Rayuan Ditangguh, Kerajaan Selangor Mohon Ketepi 2 Hakim

PUTRAJAYA – Rayuan Kerajaan Negeri Selangor berhubung tindakannya memohon semakan semula kehakiman berkaitan cadangan Suruhanjaya Pilihan Pilihan Raya (SPR) untuk melaksanakan urusan penyempadanan semula kawasan pilihan raya di negeri itu ditunda kepada Selasa ini berikutan satu permohonan supaya dua hakim menarik diri daripada mendengar rayuan itu.

Hakim Datuk Mohd Zawawi Salleh, yang mempengerusikan panel tiga anggota Mahkamah Rayuan yang turut dianggotai hakim-hakim Datuk Vernon Ong Lam Kiat dan Datuk Kamardin Hashim, berkata mereka akan menyerahkan kepada Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin untuk memutuskan tentang pemilihan hakim bagi menganggotai panel itu.

Beliau kemudian menangguhkan pendengaran rayuan Kerajaan Negeri Selangor itu kepada 27 Mac.

Pemilihan anggota panel hakim Mahkamah Rayuan bagi mendengar kes sivil dan jenayah diputuskan oleh Presiden Mahkamah Rayuan.

Peguam Datuk Dr Cyrus Das, yang mewakili Kerajaan Negeri Selangor, memohon agar Hakim Mohd Zawawi dan Hakim Kamardin menarik diri daripada mendengar rayuan itu kerana mereka telah mendengar dan membuat keputusan tentang dua kes melibatkan perkara serupa sebelum ini.

Das mengemukakan permohonan itu dengan alasan Hakim Mohd Zawawi dan Hakim Kamardin berkemungkinan membuat keputusan terlebih dahulu tentang isu yang terdapat dalam rayuan berkenaan.

Hakim Mohd Zawawi dan Hakim Kamardin pernah menganggotai panel hakim Mahkamah Rayuan yang menolak rayuan yang dikemukakan dua Anggota Parlimen pembangkang dari Perak tahun lepas bagi mencabar urusan penyempadanan semula kawasan pilihan raya oleh SPR.

Das berkata Hakim Mohd Zawawi juga mempengerusikan panel hakim Mahkamah Rayuan pada 2015 yang mengubah keputusan Mahkamah Tinggi Kuching bagi membatalkan notis SPR berhubung cadangan penyempadanan semula kawasan pilihan raya di Sarawak.

Peguam Kanan Persekutuan Alice Loke Yee Ching pula berkata tiada sebab bagi Hakim Mohd Zawawi dan Hakim Kamardin menarik diri daripada mendengar rayuan itu kerana persepsi bersikap berat sebelah bukan merupakan kriteria bagi penarikan diri mereka.

Pada 7 Dis tahun lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengetepikan permohonan semakan semula kehakiman oleh Kerajaan Negeri Selangor bagi mencabar cadangan SPR melaksanakan urusan penyempadanan semula kawasan pilihan raya di negeri itu.

Kerajaan Negeri Selangor memfailkan semakan semula kehakiman pada 19 Okt tahun lepas dengan menamakaan SPR, pengerusinya Tan Sri Mohd Hashim Abdullah dan setiausaha suruhanjaya itu Datuk Abdul Ghani Salleh sebagai responden.

Dalam permohonan itu, Kerajaan Negeri Selangor memohon pengisytiharan bahawa cadangan penyempadanan semula kawasan pilihan raya berdasarkan kajian SPR pada 2016, adalah bercanggah dengan Perlembagaan.

Kerajaan negeri itu juga memohon pengisytiharan bahawa kegagalan SPR menggunakan rang daftar pemilih terkini dalam urusan penyempadanan semula itu adalah tidak mengikut Perlembagaan. – BERNAMA

Comments

You must be logged in to post a comment Login

スーパーコピー財布 スーパーコピー時計 スーパーコピーブランド cheap valentino cheap air jordans