Pengulangan Jenayah Banduan Dibebaskan di Malaysia Terendah di ASEAN – Ahmad Zahid – Channel W

Pengulangan Jenayah Banduan Dibebaskan di Malaysia Terendah di ASEAN – Ahmad Zahid

MELAKA – Kadar pengulangan perlakuan jenayah di kalangan banduan yang telah dibebaskan di negara ini adalah yang terendah di rantau ASEAN iaitu pada 7.6 peratus, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata kadar pengulangan yang rendah itu merupakan hasil pendekatan negara ini bahawa penjara bukan hanya tempat banduan menjalani hukuman, sebaliknya usaha pemulihan atau rehabilitasi turut dilaksanakan terhadap banduan dipenjarakan.

“Penjara bukan untuk hukuman, tetapi lebih kepada rehabilitasi untuk banduan. Kaedah yang dilakukan ialah dengan memasukkan elemen supaya apabila mereka keluar dari penjara, jenayah ulangan tidak dilakukan.”

“Supaya mereka boleh dipulihkan. Apabila keluar daripada penjara mereka boleh diterima keluarga, ramai banduan selepas keluar penjara jadi pengusaha songket, pengusaha roti dan batik,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perjumpaan bersama anggota Kawasan Rukun Tetangga (KRT)/Skim Rondaan Sukarela (SRS) Melaka di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka di sini.

Turut hadir Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron dan Ketua Polis negeri Datuk Abdul Jalil Hassan.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata hanya 0.4 peratus daripada banduan yang dibebaskan secara parol mengulangi perbuatan jenayah mereka.

Beliau berkata penurunan berkenaan membuktikan keberkesanan pelaksanaan sistem parol oleh Jabatan Penjara Malaysia termasuk mengasingkan banduan terlibat jenayah berat dengan banduan yang berbaki hukuman penjara enam bulan.

“Pencapaian kita berada pada tahap 0.4 peratus dari segi jenayah ulangan apabila mereka berada di luar penjara dan ini dibuktikan dalam buku ‘Blue Ocean Shift’ mengiktiraf Malaysia sebagai negara yang terbaik di dunia,” katanya.

Katanya kerjasama antara masyarakat, keluarga, majikan dan pihak lain turut memainkan peranan menurunkan peratusan banduan parol mengulangi perbuatan jenayah selain keberkesanan program pemulihan yang dilaksanakan.

Beliau berkata selain pemulihan yang berkesan, sistem parol itu juga telah membantu dalam mengurangkan kos pengendalian penjara dan mengurangkan kesesakan di dalam penjara di negara ini.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata badan sukarelawan perlu bekerjasama dalam memastikan kawasan persekitaran lebih kondusif dan selamat untuk didiami oleh rakyat negara ini.

Justeru, katanya, anggota KRT dan SRS perlu memainkan peranan lebih aktif sebagai rakan strategik kepada pasukan polis bagi mengurangkan kegiatan jenayah.

“Elemen jalinan kerjasama ini penting…bukanlah untuk kita bersaing, sebaliknya untuk kita melakukan tindakan supaya di kawasan persekitaran di perumahan atau di kampung kita lebih kondusif, kerana ini melibatkan pengendalian soal keselamatan.”

“Jenayah sememangnya sukar untuk disifarkan, namun langkah awal yang kita lakukan sebelum ini harus diterjemahkan kesinambungannya kerana pencapaian kadar penurunan indeks jenayah 2017 berada di tahap kurang daripada 53 peratus, berbanding 47 peratus tahun 2016,” katanya.

Pada majlis itu, beliau turut mengumumkan peruntukan tambahan kepada anggota SRS Melaka sebanyak RM100,000 bagi melaksanakan pelbagai program yang melibatkan masyarakat di kawasan masing-masing selain sebagai galakan dan motivasi masyarakat terus berasa selamat dan sejahtera.

– BERNAMA

Comments

You must be logged in to post a comment Login

スーパーコピー財布 スーパーコピー時計 スーパーコピーブランド cheap valentino cheap air jordans