Turun selaku juara bertahan dua kali berturut-turut sejak 2014, skuad kendalian Chan Wing Hoong itu menguasai permainan pada 45 minit pertama namun gagal menembusi gawang lawan.

Beraksi di hadapan ribuan penyokong sendiri, Perak ghairah mengasak kubu lawan tetapi hanya berjaya melakukan satu percubaan tepat ke gawang lawan berbanding tiga oleh Kedah.

Usaha garang Perak bersambung ke babak kedua tetapi percubaan Muhammad Adib Abdul Raob pada minit ke-56 sekadar melewati palang gol.

Mereka kemudian dikejutkan oleh skuad kendalian Victor Andrag yang menjaringkan gol pembukaan perlawanan pada minit ke-64 menerusi sepakan bola mati Mohd. Fadzrul Danel Mohd. Nizam tetapi kegembiraan Kedah hanya bertahan dua minit apabila Muhammad Alif Safwan Mohd. Sallahuddin menceriakan penyokong Perak apabila menyamakan kedudukan.

Gol penyamaan tersebut memberi suntikan semangat kepada pemain Perak apabila mereka berjaya berada di depan menerusi rembatan Muhamad Asyraaf Mat Pushni pada minit ke-70 selepas dia bijak menyambar bola muntah ketika situasi kelam-kabut di depan pintu gol Kedah.

Dalam pada itu, pingat gangsa dimenangi Sabah apabila berjaya bangkit daripada ketinggalan menundukkan Terengganu 2-1 di Stadium Majlis Perbandaran Manjung. Skuad kendalian Badrul Afzan Razali terlebih dahulu berada di depan menerusi jaringan Wan Mohamad Fazli Wan Ghazali pada minit ke-29.

Walau bagaimanapun kedu­dukan itu tidak kekal lama apabila Mohd. Shariman Mukarim menyamakan kedudukan pada minit ke-74 sebelum Ariusdius Jais meledak gol kemenangan ketika permainan memasuki masa kecederaan.