PM umum saguhati khas RM2,000 kepada warga PNB – Channel W

PM umum saguhati khas RM2,000 kepada warga PNB

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, hari ini mengumumkan pemberian saguhati istimewa RM2,000 kepada setiap warga Permodalan Nasional Berhad (PNB) yang akan mula disalurkan Mei ini.

Najib yang juga Pengerusi Yayasan Pelaburan Bumiputera (YPB) iaitu yayasan di mana PNB bernaung, berkata ia diberikan bagi meraikan ulang tahun ke-40 dan pencapaian cemerlang syarikat pengurusan dana terbesar negara itu sepanjang penubuhannya.

“Untuk sambut 40 tahun ini, bukan senang bukan selalu kita boleh sebut 40 tahun, jadi sempena menyambut ulang tahun ini, saya ingin umumkan saguhati istimewa sebanyak RM2,000 kepada setiap warga PNB yang akan dilaksanakan pada Mei ini.

“Jadi, raya pun boleh disambut dengan meriah…saya sekali lagi ucapkan selamat menyambut ulang tahun ke-40 kepada semua warga PNB, dan saya yakin masa depan PNB akan terus cemerlang,” katanya dalam ucapan pada sambutan ulang tahun ke-40 PNB di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan Pengerusi Kumpulan PNB Tan Sri Abdul Wahid Omar.

Perdana Menteri turut mengucapkan tahniah atas kejayaan PNB mengekalkan pencapaian sepanjang penubuhannya dengan aset di bawah pengurusannya kini mencapai RM279 bilion.

Najib berkata PNB selama ini memainkan peranan penting dalam menjayakan dasar-dasar induk kerajaan umpamanya Dasar Ekonomi Baharu (DEB) khususnya dalam usaha mengagihkan kekayaan negara secara saksama kepada semua rakyat.

“Prestasi dan kejayaan PNB adalah satu kebanggaan kepada seluruh rakyat Malaysia. Kejayaan PNB juga boleh diukur dari sudut menjayakan dasar induk kerajaan bermula dengan DEB khususnya dalam aspek pengagihan kekayaan negara kita supaya lebih adil dan saksama.

“Instrumennya ataupun ‘vehicle’ antara yang paling penting adalah PNB sebab itulah hari ini bila kita sambut 40 tahun PNB, kita juga sambut kejayaan dasar-dasar induk kerajaan untuk tentukan masyarakat yang lebih adil dan saksama (kekayaan) dan kemudian untuk melihat kepada sebuah masyarakat lebih kukuh dan bersatu padu,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau menarik perhatian bahawa satu daripada unsur perpaduan adalah apabila setiap rakyat mempunyai pemilikan yang saksama dan tidak ada golongan yang rasa terpinggir.

Dalam hal ini, Perdana Menteri berkata Malaysia sudah berjaya melaksanakannya, di mana statistik terkini menunjukkan bahawa penyertaan Bumiputera dalam bidang korporat sudah pun melebihi 23 peratus.

“Bila konsep DEB dilancarkan, saya masih ingat ayahanda saya (Tun Abdul Razak Hussein) cuba menjelaskan DEB ini pada awal 70-an dalam anologi mudah.

“Dia sebut bahawa ‘kita mesti kembangkan kek, apabila anda berbuat demikian maka anda boleh berkongsi kek itu tanpa mengambil daripada sesiapapun’ . Inilah satu formula yang sudah bawa kita kepada kejayaan, bukan sahaja PNB tapi kejayaan kita dalam mengagihkan kekayaan dengan lebih adil dan saksama,” katanya.

Najib berkata PNB bukan sahaja tidak pernah gagal membayar dividen tetapi memberikan kadar dividen yang agak baik dengan jumlah dividen dan bonus terkumpul yang dibayar sejak 1981 berjumlah RM171.85 bilion.

“Ternyata penubuhan PNB telah berjaya meningkatkan tahap sosio ekonomi terutama golongan Bumiputera. Atas kejayaan ini, saya ucap tahniah kepada kepimpinan Tan Sri Abdul Wahid Omar dan Datuk Abdul Rahman Ahmad (Presiden dan CEO).

“Satu kombinasi baik…dan di samping itu saya nak ucap tahniah kepada kepimpinan PNB sebelum ini…terima kasih atas sumbangan yang begitu besar,” katanya.

Tambah Najib, pencapaian PNB juga secara tidak langsung menafikan dakwaan pihak tertentu bahawa Malaysia adalah negara yang gagal dan menuju ke arah kebankrapan.

Sempena ulang tahun PNB, Perdana Menteri turut melancarkan identiti korporat baharu PNB selaras inisiatif transformasi di bawah Pelan Strategik STRIVE-15 syarikat berkenaan.

– BERNAMA

Comments

You must be logged in to post a comment Login

スーパーコピー財布 スーパーコピー時計 スーパーコピーブランド cheap valentino cheap air jordans