Program Intervensi Serlah Kebolehan Luar Biasa Kanak-Kanak Autisme – PM Najib – Channel W

Program Intervensi Serlah Kebolehan Luar Biasa Kanak-Kanak Autisme – PM Najib

MELAKA – Program intervensi seperti Permata Kurnia memainkan peranan penting dalam menyerlah kebolehan luar biasa kanak-kanak autisme seterusnya membentuk mereka menjadi warga masyarakat yang menyumbang kepada kejayaan negara, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata intervensi pada peringkat awal dapat menjamin masa depan yang lebih baik buat kanak-kanak terutama yang menghidap autisme, dan ini adalah penting dalam usaha kerajaan membentuk masyarakat Malaysia yang lebih prihatin serta penyayang.

“Anak autistik ini ada kebolehan luar biasa dalam suatu bidang tetapi dia lemah dalam bidang lain. Isteri saya pernah jumpa seorang kanak-kanak autisme umur enam tahun boleh buat kiraan kimia dan matematik peringkat SPM, jadi perlu ada intervensi bagi menyerlah bakat anak-anak kita ini.

“Tidak mustahil anak-anak autisme seperti yang isteri saya jumpa itu boleh jadi saintis suatu hari nanti. Ini suatu harapan kita demi masa depan anak-anak autistik ini,” katanya ketika berucap merasmikan majlis pecah tanah projek bangunan Permata Kurnia Zon Selatan di Bukit Katil di sini hari ini.

Turut hadir isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor yang juga penaung Program Permata, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim dan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron.

Pusat Permata Kurnia Zon Selatan dibina dengan peruntukkan RM6.5 juta dilengkapi kemudahan pembelajaran, bilik rundingan, gimnasium, taman permainan, kolam renang dan trek larian itu dijangka memulakan pembinaan bulan depan dan siap pada awal 2019.

Pusat yang dijangka boleh menampung 250 kanak-kanak autisme dari Melaka, Negeri Sembilan dan Johor itu juga memberikan akses kepada program prasekolah, perkhidmatan intervensi awal dan program pendidikan komuniti.

Dalam pada itu, Najib berkata masyarakat mesti menolak kefahaman karut dan marut termasuk sihir serta dukun dalam soal autisme sebaliknya perlu mengamalkan cara perubatan saintifik supaya penghidapnya boleh menjadi seorang yang berjaya nanti.

Sementara itu, Najib berkata kejayaan sesebuah negara tidak boleh hanya melihat kepada pendapatan perkapita sahaja atau mengukur dari segi pembangunan fizikal sebaliknya mesti juga membentuk masyarakatnya dengan nilai-nilai yang tinggi seperti masyarakat penyayang dan prihatin atau ‘a kinder and softer Malaysia.’

“Inilah yang saya masukkan dalam gagasan Transformasi Nasional 2050 (TN50) iaitu kita bukan sahaja nak mengangkat martabat negara Malaysia sebagai negara 20 terunggul di dunia tetapi kita mahu ciri-ciri ini ditanam sebagai nilai asas dalam masyarakat supaya kita ambil berat dan ambil peduli orang yang susah serta orang yang kurang bernasib baik dan memerlukan pertolongan.

“Inilah kerajaan kita, Barisan Nasional pada hari ini. Bukanlah sebaliknya yang dilakukan oleh seorang pemimpin pembangkang di sebuah negeri di utara sanggup menggunakan kanak-kanak untuk menyemai kebencian terhadap kerajaan, terkinja-kinja dengan lagu GST. Biarlah dia dengan perangai hodohnya. Kita berusaha untuk kanak-kanak dan tidak eksploit kanak-kanak,” katanya.

– BERNAMA

Comments

You must be logged in to post a comment Login

スーパーコピー財布 スーパーコピー時計 スーパーコピーブランド cheap valentino cheap air jordans