PRU14: Tidak Wajar Suhakam Pantau Proses Pilihan Raya – Channel W

PRU14: Tidak Wajar Suhakam Pantau Proses Pilihan Raya

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyifatkan penglibatan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) sebagai pemantau pilihan raya adalah tidak perlu kerana SPR telah menjemput pemerhati luar negara dan melantik beberapa pihak bebas yang berkecuali serta tidak berkepentingan untuk memerhati dan memantau proses Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Pengerusi SPR Tan Sri Mohd Hashim Abdullah berkata Suhakam diberi pengiktirafan dan mempunyai bidang kuasa berkaitan hak asasi, maka pengiktirafan yang sama juga perlu diberikan oleh Suhakam kepada SPR.

“Memandangkan hak untuk mengundi adalah hak yang diberikan di bawah statut, maka semua peraturan perlulah dipatuhi oleh semua pengundi dan tidak timbul bahawa hak asasi sewajarnya mengatasi hak statut,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Suhakam semalam bahawa suruhanjaya itu gagal dalam usaha untuk menjadi pemantau pilihan raya yang mendapat tauliah SPR menyebabkan anggotanya tidak dibenarkan masuk ke pusat mengundi.

SPR berpandangan Suhakam tidak wajar memantau pelaksanaan PRU14 oleh SPR memandangkan anggota bagi kedua-dua suruhanjaya itu dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong dan mempunyai bidang kuasa khusus yang telah dinyatakan dalam Perlembagaan Persekutuan dan akta.

Selain itu, Mohd Hashim berkata peruntukan undang-undang juga menetapkan hak kepada semua calon dan parti yang bertanding untuk melantik ejen-ejen mereka sebagai pemantau dalam setiap proses PRU14.

Menurutnya pada PRU14, dianggarkan jumlah ejen calon dan parti yang akan terlibat adalah melebihi 200,000 orang.

“Sebagai sebuah badan pengurusan pilihan raya yang berintegriti, bebas dan adil yang diamanah oleh Yang di-Pertuan Agong, SPR akan memastikan setiap proses PRU14 yang akan dikendalikan sendiri oleh lebih 250,000 orang awam (petugas pilihan raya) akan berjalan dengan telus dan adil tanpa tekanan serta campurtangan mana-mana pihak,” katanya.

Mohd Hashim berkata SPR sentiasa berpegang kepada kepentingan hak asasi semua warganegara selaras dengan peruntukan undang-undang dan tidak pernah menyekat mana-mana warganegara untuk menggunakan hak mereka bagi menyertai proses demokrasi negara.

Comments

You must be logged in to post a comment Login

スーパーコピー財布 スーパーコピー時計 スーパーコピーブランド cheap valentino cheap air jordans