RM200 Juta Untuk Koperasi Terlibat Kedai Harga Patut – Najib – Channel W

RM200 Juta Untuk Koperasi Terlibat Kedai Harga Patut – Najib

MELAKA – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan peruntukan sebanyak RM200 juta untuk koperasi yang terlibat dengan perlaksanaan Kedai Harga Patut.

Beliau berkata suntikan itu penting bagi memastikan koperasi yang terlibat itu mampu berada sealiran dengan matlamat utama kerajaan terutama dalam usaha membantu rakyat menangani isu kos sara hidup.

“Jadi mana-mana koperasi yang jual barang dengan harga patut dan diiktiraf koperasi terlibat Kedai Harga Patut boleh terima sebahagian daripada suntikan RM200 juta ini yang akan ditentukan menteri,” katanya ketika berucap merasmikan Hari Koperasi Negara 2018 di Ayer Keroh di sini hari ini.

Turut hadir isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hamzah Zainudin; dan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron serta lebih 30,000 anggota koperasi dari seluruh negara.

Kedai Harga Patut yang diperkenalkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan pada 2003 merupakan pengiktirafan kepada peniaga yang sentiasa memastikan kualiti, nilai dan perkhidmatan diberikan memenuhi kehendak dan keperluan pengguna pada harga berpatutan.

Dalam majlis sama, Koperasi Pegawai-pegawai Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman Berhad menerima Anugerah Koperasi Terbaik 2018; Koperasi Profesional Putrajaya Berhad menerima Anugerah Koperasi Berpotensi 2018; dan Datuk Md Aini Taib menerima Anugerah Tokoh Koperasi Negara 2018.

Najib berkata kerajaan sentiasa memberikan pengiktirafan kepada koperasi antaranya dalam bentuk geran pembangunan perniagaan serta tabung modal pusingan dan inisiatif seperti ini akan diteruskan dalam usaha membangunkan koperasi di negara ini.

“Yakinlah komitmen kita majukan koperasi setinggi mungkin, apatah lagi apabila kerajaan sedia ada mendapat mandat baru rakyat nanti saya yakin koperasi di tanah air ini akan lebih maju pada masa akan datang,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata akta baharu koperasi yang sedang digubal akan mengklasifikasikan koperasi berdasarkan kumpulan tahap pencapaian masing-masing bagi meningkatkan daya saing koperasi di negara ini.

“Mungkin dalam tier pertama dapat insentif yang lebih daripada kerajaan, koperasi tier kedua dapat insentif kurang sedikit dan begitu juga tier ketiga. Ini supaya yang tier ketiga akan dapat galakkan menjadi kelompok tier kedua dan kelompok tier kedua meningkat jadi tier pertama,” katanya.

– BERNAMA

Comments

You must be logged in to post a comment Login

スーパーコピー財布 スーパーコピー時計 スーパーコピーブランド cheap valentino cheap air jordans