Selesaikan PRK Sg Kandis baru buat keputusan-Azmin – Channel W

Selesaikan PRK Sg Kandis baru buat keputusan-Azmin

Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, akan menyatakan keputusan sama ada mahu mempertahankan jawatan disandangnya atau mencabar jawatan sebagai Presiden PKR selepas selesai Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis.

Mohamed Azmin yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi, berkata beliau kini mahu membantu jentera parti bagi PRK Sungai Kandis terlebih dulu.

“Setakat ini, saya ingin lebih menumpukan kepada segala persiapan dan kempen pilihan raya, selepas itu saya akan menimbangkan perkara berkenaan (pemilihan parti),” katanya ketika ditemui pada program Santai BBQ bersama calon PRK DUN Sungai Kandis semalam.

Yang turut hadir, Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari dan calon PKR, Mohd Zawawi Ahmad Mughni.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Azmin Ali (tiga dari kanan) bersama Calon PKR, Zawawi Ahmad Mughni (empat dari kanan) pada Santai BBQ bersama Calon PKR N49 DUN Sungai Kandis di Hill’s Foodcourt.

Ketika mengulas mengenai keputusan Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli yang mahu bertanding jawatan Timbalan Presiden, kata Mohamed Azmin, semua ahli PKR berhak menawarkan khidmat dalam perjuangan parti itu.

“Saya menghormati keputusan beliau untuk bertanding dan ia adalah satu proses demokrasi yang tidak perlu dipandang pelik kerana ia kekuatan PKR.

“Saya berada di jawatan ini (Timbalan Presiden) selama 20 tahun juga kerana pertandingan. Saya tidak pernah mendapat jawatan secara percuma dan itu yang memperkukuhkan lagi peranan kita dalam parti,” katanya.

Sementara itu, beliau amat menghargai perlantikannya sebagai Ahli Lembaga Pengarah Khazanah Nasional Bhd yang baharu yang diharap dapat mengembalikan peranan asal syarikat dana pelaburan strategik negara itu.

“Saya dimaklumkan mengenai pelantikan itu petang tadi dan berterima kasih atas kepercayaan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Perkara ini akan dibincangkan dengan terperinci dan saya akan mendapatkan satu sesi perbincangan dengan Tun Mahathir dalam tempoh terdekat sebelum mengadakan mesyuarat Lembaga Pengarah pertama bagi meneliti keutamaan yang perlu dilaksanakan,” katanya.

Kerajaan hari ini mengumumkan pelantikan lima Ahli Lembaga Pengarah Khazanah Nasional Bhd baharu dengan Dr Mahathir sebagai Pengerusi.

Selain Mohamed Azmin, turut dilantik sebagai Pengarah adalah Ahli Majlis Penasihat Kerajaan, Tan Sri Mohd Hassan Marican; bekas Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia, Dr Sukhdave Singh dan Pengerusi Maybank Asset Management Group Bhd, Goh Ching Yin.

Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataannya memaklumkan pelantikan itu berkuatkuasa serta merta manakala Pengarah Urusan Khazanah Nasional akan diumumkan kemudian.

Comments

You must be logged in to post a comment Login

スーパーコピー財布 スーパーコピー時計 スーパーコピーブランド cheap valentino cheap air jordans