Pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menyifatkan Safiq, yang menyertai kelab itu pada 2013 dari Selangor, sebagai seorang daripada pemain terbaiknya kerana membantu skuad Harimau Selatan mencapai kejayaan dalam liga domestik dan antarabangsa.

“Pada pandangan ikhlas saya, beliau merupakan pemain paling berjaya dalam kelab bola sepak JDT dan membantu Harimau Selatan mencapai matlamat kami.

Pemain paling berjaya, kapten terbaik dalam sejarah JDT dan pemain bola sepak terbaik yang bukan sahaja memberi sumbangan kepada JDT tetapi juga kelab seperti Selangor dan skuad kebangsaan,” titah Tunku Ismail, Tengku Mahkota Johor dalam catatan terbaharu baginda dalam laman Facebook JDT – Johor Southern Tigers.

Tunku Ismail bertitah pintu di Johor sentiasa terbuka untuk pemain kelahiran Selangor itu kembali bersama kelab pada masa hadapan.

Safiq memenangi pelbagai trofi dengan JDT termasuk menjulang lima kejuaraan Liga Super berturut-turut sejak 2014, Piala AFC 2015, Piala FA 2016 dan Piala Malaysia 2017.

Beliau bersama skuad negara juga menjuarai Piala AFF 2010 dan meraih pingat emas bersama skuad Bawah 23 dalam Sukan SEA 2009 di Laos. – Bernama