Kekecohan itu berlaku apabila Ramkarpal Singh (PH-Bukit Gelugor) menyifatkan beberapa ahli Pemuda UMNO yang didakwa menyerang mendiang Karpal Singh di Dewan Rakyat suatu ketika dulu sebagai samseng.

Tindakan tersebut telah mengundang rasa tidak puas hati wakil rakyat pembangkang.

Datuk Shamsul Anuar Nasarah (BN-Lenggong) kemudian bangkit meminta supaya Ramkarpal menarik semula perkataan ‘samseng’ yang disifatkan  tidak menghormati dewan.

Datuk Seri Ismail Mohamed Said (BN-Kuala Krau) turut bangkit mengemukakan peraturan mesyuarat 36(4) kepada Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd. Rashid Hasnon

Berdasarkan peraturan itu, Ismail yang merupakan bekas Timbalan Yang Dipertua Dewan meminta Mohd. Rashid membuat satu perintah (ruling) supaya Ramkarpal menarik semula perkataan tersebut.

Peraturan 36(4) menjelaskan adalah menjadi kesalahan bagi Ahli-ahli Dewan yang menggunakan bahasa kurang sopan atau membuat pernyataan yang seksis.

Mohd. Rashid kemudian membuat ruling supaya perbahasan Johari diteruskan.

Perkara itu, menyebabkan lebih ramai wakil rakyat pembangkang termasuklah seorang lagi bekas Timbalan Yang Dipertua Dewan, Datuk Seri Ronald Kiandee (BN-Beluran) bangkit menekankan kepentingan mengikut peraturan mesyuarat.

Setelah didesakan wakil rakyat pembangkang yang mahu rujukan  kepada peraturan mesyuarat dipatuhi, Mohd. Rashid akhirnya akur dan membuat ruling supaya Ramkarpal menarik balik perkataan samseng yang dikeluarkannya.

Bagaimanapun, Ramkarpal enggan menarik semula perkataan yang dikeluarkan itu.

Situasi dewan terus kecoh dengan wakil pembangkang terus membuat desakan menggunakan peraturan mesyuarat dengan wakil rakyat kerajaan mempertahankan Ramkarpal.

Dalam sidang Dewan Rakyat petang, Speaker memutuskan untuk mengambil keputusan supaya menarik balik kata-kata kasar samseng berkenaan oleh Ram Karpal dan Datuk Bung Mokhtar Radin.