Pengerusi SPR, Azhar Azizan berkata, keputusan itu berasaskan kepada pengampuan penuh yang telah diterima Anwar daripada Yang di-Pertuan Agong pada Mei lalu.

“SPR mengambil pendirian Anwar layak bertanding berteraskan kepada pengampunan yang diterimanya dan ia adalah berdasarkan Perlembagaan,” katanya dalam sidang media selepas penamaan calon PRK Parlimen Port Dickson.

Pas hari ini mengemukakan surat bantahan dan mempersoalkan kelayakan Anwar untuk bertanding semasa proses penamaan calon PRK tersebut.

Dalam pada itu, Azhar berkata, pihaknya meletakkan sasaran peratusan keluar mengundi mencecah 70 peratus.

Katanya, ini kerana PRK itu disertai personaliti menarik dan keputusannya mempunyai kesan besar kepada politik negara.