Thaipusam: Nazar Awal Elak Waktu Gerhana – Channel W

Thaipusam: Nazar Awal Elak Waktu Gerhana

Batu Caves, 30 Jan – Thaipusam, satu perayaan yang disambut secara besar-besaran dan meriah di Malaysia dan dikatakan lebih meriah berbanding di India.

Bagi penganut agama Hindu, perayaan Thaipusam dapat menyatukan semua penganutnya dari pelbagai ladang dan bandar serta bertumpu kepada beberapa kuil Hindu utama.

Hari Thaipusam juga turut dikenali sebagai hari menunaikan nazar dan menebus dosa atau memohon ampun di atas dosa-dosa lampau. Tidak semua penganut Hindu menunaikan nazar. Nazar bagi mereka ialah memohon sesuatu hajat kepada Dewa Murugan dan jika permohonan dikabulkan, maka satu acara tertentu diadakan sebagai tanda kesyukuran.

Mereka akan membawa susu yang dijunjung di kepala dari mula melangkahkan kaki keluar dari kediaman masing-masing menuju ke kuil. Bagi lelaki Hindu pula akan mencukur rambut dan menyapukan campuran serbuk cendana dan air di atas kepala. Bagi yang memohon ampun agar dosa mereka diampunkan, kavadi akan dibawa atau dijunjung di atas bahu atau kepala.

Tinjauan wartawan Channel W ke Kuil Sri Subramaniyar Swami, semalam, menemui para peniaga yang telah memulakan perniagaan mereka sejak minggu lalu. Mereka berpendapat sambutan Thaipusam pada tahun ini berbeza dari tahun sebelumnya, gara-gara fenomena gerhana bulan yang jatuh pada hari Thaipusam esok.

Justeru, penganut agama Hindu melakukan ritual agama mereka lebih awal. Bukanlah sesuatu yang pelik kerana ia pernah berlaku sebelum ini tetapi jumlah mereka yang datang ke kuil kali ini agak luar biasa.

“Sepanjang tempoh gerhana antara 6 petang sehingga 12 tengah malam, kami tidak boleh keluar dan tidak boleh makan”, kata Pakry, pemilik Restoran Amutha yang sudah berpuluh tahun menetap di negara ini.

“Bimbang akan terkena sumpahan atau ‘panahan negatif’, kami cuba ikut pantang larang yang diamalkan sejak turun temurun,” katanya lagi.

Pakry, Pemilik Bersama Restoran Amutha. Foto – Nurul Alifah

Bagi salah seorang pemilik gerai, Sivatarshini pula berkata perayaan Thaipusam paling bermakna bagi penganut agama Hindu kerana pada saat inilah mereka bernazar, menebus dosa dan mendekatkan diri dengan Tuhan.

“Warna kuning adalah dianggap suci, jadi semua penganut yang ingin bernazar dan sembahyang digalakkan memakai pakaian bewarna kuning,” kata Sivatarshini yang menemani ibunya berniaga sehingga hujung minggu ini.

Sivatarshini dan keluarga datang dari Ipoh dan berniaga sejak Sabtu lalu. Foto – Nurul Alifah

Sementara itu, bagi Elizabeth, dia amat bimbang perniagaannya tahun ini kurang mendapat sambutan berbanding tahun sebelumnya.

“Saya habis berniaga kira-kira jam12 tengah malam ke 1 pagi sehingga pengunjung pulang” kata Elizabeth.

Walau bagaimanapun, Elizabeth berterima kasih kepada  Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) melalui perkhidmatan komuter yang beroperasi selama tiga hari dua malam tanpa henti, bermula 30 Januari sehingga 1 Februari.

“Dengan adanya perkhidmatan seperti ini, lebih mudah para pengunjung untuk datang dan pulang sepanjang tempoh itu,” katanya lagi.

Elizabeth mewarisi ibunya 32 tahun berniaga di Batu Caves sepanjang perayaan Thaipusam. Foto – Nurul Alifah

Turut memeriahkan suasana perayaan Thaipusam ini adalah pelancong asing. Ada di antara mereka yang akan berkunjung ke kuil ini setiap tahun dan ada juga yang tidak pernah melihat keunikan sambutan perayaan ini.

Pelancong dari Perancis, Nadine, berkata dia sangat teruja dan kagum melihat suasana menjelang Thaipusam di sini.

“Ini kali pertama saya datang ke Malaysia dan kali pertama saya menjejakkan kaki di sini. Saya amat kagum dengan kuil yang tersohor di Malaysia,” kata Nadine yang datang bersama rakannya Rainer dari Jerman.

Nadine dan rakannya Rainer teruja melihat suasana di Batu Caves. Foto – Nurul Alifah

Sementara itu, pelancong dari Indonesia, Azzellya berkata, dia datang bersama keluarga untuk melihat sendiri Kuil Sri Subramaniyar Swami dan Tugu Dewa Murugan yang kedua terbesar di dunia selepas ‘Kailashnath Mahadev Statue’ di Nepal.

Azzellya dan keluarga dari Padang, Indonesia. Foto – Nurul Alifah

Pelbagai jenis perayaan mewarnai negara kita, namun apa yang penting adalah setiap perayaan ini ada keistimewaannya yang tersendiri bagi penganut agama masing-masing.

Kemeriahan sambutan perayaan di Malaysia pastinya dapat memupuk perpaduan dan solidariti antara kaum sekaligus membentuk masyarkat yang lebih maju dan berdaya saing.

 

 

 

 

 

Comments

You must be logged in to post a comment Login

スーパーコピー財布 スーパーコピー時計 スーパーコピーブランド cheap valentino cheap air jordans