Pengerusi Pakatan Harapan itu ditanya tentang kemungkinan Kabinet dirombak berikutan PKR, satu daripada parti komponen dalam pakatan itu, baru selesai mengadakan pemilihan jawatan dalam parti.

“Saya tidak akan melakukannya (rombakan), tetapi Pakatan Harapan mungkin mahu. Mereka mungkin mahu, mereka mungkin desak. Jadi, saya perlu pertimbangkan. Bagaimanapun bagi diri saya, saya belum buat keputusan berkaitan rombakan,” katanya di akhir Sidang Kemuncak ASEAN ke-33 dan Sidang Kemuncak Berkaitan di sini, hari ini.

Ditanya ‘siapa’ yang mereka maksudkan itu, Dr. Mahathir berkata: “Mereka adalah parti lain. PKR atau DAP atau Amanah (Parti Amanah Negara).”

“Adalah sukar untuk menilai prestasi menteri Kabinet. Saya tidak mahu melakukan pertukaran kerana ia membawa kepada kurang keyakinan,” katanya.