Dalam satu kenyataan Pusat Komunikasi Strategik USIM menyebut pelantikan bekas Ketua Hakim Negara sebagai Pro-Canselor dibuat oleh Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik.

Bagi Dr Maszlee, Tun Zaki bukanlah tokoh yang asing bagi USIM kerana telah menyumbang pengalaman dan kepakaran dalam pembangunan kurikulum program akademik di Fakulti Syariah dan Undang-undang (FSU) sejak 2011 apabila dilantik sebagai Profesor Adjung.

Tun Zaki juga pernah menjadi panel penasihat program Ijazah Sarjana Muda Syariah dan Undang-Undang sewaktu lawatan pengiktirafan oleh Lembaga Kelayakan Profesion Undang-Undang pada November 2013 serta sering berkongsi idea melalui syarahan undang-undang kepada pelajar dan staf akademik FSU.

Majlis pengisytiharan pelantikan Zaki sebagai Pro-Canselor USIM akan disempurnakan oleh  Canselor Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud pada November ini sempena Majlis Konvokesyen USIM ke-16.