Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin menuntut kesatuan dalam kalangan umat Islam berikutan terdapat beberapa usaha menafikan kedudukan agama tersebut seperti yang dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan.

Titahnya, ia adalah penting bagi memperlihat perpaduan dalam kalangan ummah yang merupakan kunci penting kepada peristiwa hijrah.

“Kunci penting itulah yang membawa kepada terbinanya Madinah, model kerajaan Islam terbilang yang dipenuhi rahmat kepada seluruh masyarakat sama ada penduduk Islam atau bukan Islam.

“Sebagai umat Islam marilah kita melakukan perubahan dengan berhijrah ke arah yang lebih baik dalam semua aspek kehidupan, selaraskanlah semuanya agar selari dengan tuntutan mencari keredaan Allah SWT,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian dalam majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Terengganu 1440H/2018M di Stadium Negeri di sini, hari ini.

Turut berangkat, Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah dan putera baginda, Tengku Muhammad Ismail yang diiringi Ahli Dewan Pangkuan Diraja, Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail.

Yang turut hadir, Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dan isteri, Tuan Faizah Tuan Ab. Rahman; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk A. Rahman Yahya dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Sultan Mizan bertitah, kejayaan peristiwa hijrah telah memperkukuhkan pegangan akidah, ibadat, akhlak dan gaya hidup umat Islam pada zaman berkenaan bahkan, langkah mempersaudarakan antara Muhajirin dan Ansar turut memperlihatkan kebesaran nilai kasih sayang sesama Islam.

Titah baginda, kasih sayang merupakan perisai dalam menjaga kekuatan sesebuah negara di samping membanteras kemiskinan dan masalah sosial kala­ngan fakir miskin serta golongan kurang berkemampuan.