Mourinho terpaksa membayar harga yang cukup mahal apabila dia melakukan sembilan perubahan dalam pasukannya yang diikat keputusan seri 2-2 di Old Trafford sebelum sepak mula dengan Paul Pogba direhatkan.

Phil Jones akhirnya gagal menyempurnakan penalti selepas 15 kali sepakan itu berjaya disempurnakan pada pertemuan tersebut.

Pada awal permainan, kelihatannya Mourinho mendapatkan maklum balas positif setelah United diikat 1-1 dengan Wolves, apabila bekas rakan sepasukan Lampard sewaktu di Chelsea, Juan Mata menyumbat masuk gol pembukaan seawal minit ketiga.

Bagaimanapun, Derby berjaya menyamakan kedudukan selepas rehat babak pertama, terima kasih kepada penyerang Liverpool yang dipinjamkan ke kelab tersebut, Harry Wilson menerusi sepakan percuma.

Tidak lama selepas itu, penjaga gol United, Sergio Romero dilayangkan kad merah kerana cuba menghalang satu lagi percubaan berbahaya Wilson dari luar kawasan.

Pasukan pelawat memanfaatkan kesempatan itu apabila Jack Mariott menanduk masuk gol lima minit sebelum waktu sebenar perlawanan berakhir, tetapi Marouane Fellaini menyelamatkan Mourinho daripada ditimpa aib hasil tandukan yang menerjah ke pintu gol Derby pada minit ke-95.

Bagaimanapun, penjaga gol simpanan United, Lee Grant gagal menyekat penalti Derby dan Jones pula menambah derita anak-anak buah Mourinho yang telahpun keciciran di belakang pendahulu Liga Perdana Inggeris, Liverpool dengan lapan mata.

Sementara itu, bos City, Pep Guardiola menikmati kemenangan selesa yang dilakar pasukannya, walaupun dia turut melakukan beberapa perubahan ke atas skuad bimbingannya yang sekali gus memberi peluang kepada pemain England di bawah-19 tahun, Phil Foden menyinar sewaktu menang 3-0 ke atas pasukan Liga Satu, Oxford.

Bintang antarabangsa Brazil, Gabriel Jesus meledakkan gol pembukaan pada minit ke-36, manakala Riyad Mahrez dan Foden masing-masing menyumbat satu gol pada minit ke-78 serta ke-92.

Pada pertemuan lain, pasukan Liga Satu, Burton mengejutkan kelab Liga Perdana, Burnley 2-1, sementara Fulham, Cristal Palace, Bournemouth, Middlesbrough dan Blackpool melangkah ke pusingan seterusnya. – AFP