Pelantikan itu juga dilihat sebagai menghormatinya yang tidak bertanding dalam Pemilihan PKR untuk penggal 2018-2021 bagi memberi laluan kepada suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang bakal ditabalkan sebagai Presiden baharu PKR esok.

Keputusan pelantikan itu dibuat menerusi usul khas dalam Kongres Nasional PKR 2018 yang berlangsung di Shah Alam pada Sabtu, ia disokong sebulat suara oleh ahli-ahli parti.

Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil memaklumkan, usul itu  belum menetapkan secara khusus tugas Majlis Penasihat ini.

Maklumat lanjut berkenaan fungsi, tanggungjawab dan komposisi majlis akan diumumkan kelak.

“Secara dasarnya, majlis ini akan mengambil segala pengalaman yang ada pada Wan Azizah dan beberapa tokoh lain dalam memberikan pandangan supaya PKR kekal mengikut landasan perjuangan dan membela nasib rakyat,” katanya kepada pemberita.

Sebelum itu, ketika sesi perbahasan Ucapan Dasar Presiden, wakil Angkatan Muda Keadilan (AMK), Akmal Nasir mencadangkan peranan Wan Azizah sebagai Timbalan Perdana Menteri turut dikekalkan mengikut tempoh Tun Dr. Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri sebelum digantikan Anwar.