Hari ini merupakan hari yang bersejarah bagi masyarakat Orang Asli di seluruh negara apabila Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan Ajis Sitin sebagai Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA). Pengumuman ini merupakan perkara yang dinanti-nantikan oleh masyarakat Orang Asli kerana ini merupakan kali pertama dalam sejarah Orang Asli dilantik memegang jawatan yang tertinggi dalam JAKOA.
Ajis bin Sitin merupakan Orang Asli daripada suku kaum Semai yang berasal dari Kampung Orang Asli Kuala Koyan, Kuala Lipis, Pahang. Sebelum dilantik sebagai Ketua Pengarah JAKOA, beliau merupakan Timbalan Ketua Pengarah JAKOA yang juga dilantik oleh Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob.
Sudah rasmi Ajis dilantik KP JAKOA
Sebelum bertugas di JAKOA, Ajis Sitin merupakan seorang Jurutera di Jabatan Kerja Raya (JKR) dan juga pernah berkhidmat sebagai Pengarah Bahagian Kejuruteraan Hutan di Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia.
Menurut Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob, pelantikan ini membuktikan bahawa janji beliau terhadap masyarakat Orang Asli untuk memastikan JAKOA diterajui oleh masyarakat Orang Asli telah ditunaikan. Harapan beliau juga, agar JAKOA akan menjadi satu jabatan yang lebih efektif dalam menjaga kebajikan, memelihara warisan dan membangunkan masyarakat Orang Asli di seluruh negara.
Pihak JAKOA mengucapkan jutaan terima kasih kepada Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob kerana telah melaksanakan janji beliau dengan melantik Ketua Pengarah JAKOA dari kalangan masyarakat Orang Asli. Ucapan tahniah dan selamat maju jaya diucapkan kepada Ajis Sitin atas pelantikan beliau sebagai Ketua Pengarah JAKOA yang pertama daripada masyarakat Orang Asli.
Copyright © 2018 Online Dynamics (M) Sdn Bhd
You must be logged in to post a comment Login